AL-FATIHAH

Allahyarham Dato' Razali bin Ismail
(Timbalan Menteri Pelajaran)
Semoga roh Allahyarham di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Daripada: Warga Kolej Sultan Abdul Hamid, 04560 Alor Star.
BENTONG 28 Nov. - Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, 59, tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda bahawa beliau sakit malah kelihatan sihat dan cergas.
Seorang saksi, Azmi Arifin, 46, ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, Allahyarham yang beria-ia hendak bermain badminton dengan kakitangan Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands, dekat sini.
"Datuk yang beria-ia hendak main badminton, semasa kami sedang bermain, Allahyarham nampak sihat dan cergas, tak pula menunjukkan tanda-tanda yang beliau dalam kesakitan," katanya ketika ditemui di Hospital Bentong di sini hari ini.
Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu meninggal dunia secara mengejut di institut tersebut ketika sedang bermain badminton kira-kira pukul 6.30 petang tadi.
Allahyarham berada di institut tersebut kerana menghadiri Konvensyen Nasional ke-8 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Bagaimanapun, Azmi yang bertugas sebagai pembantu am di IAB memberitahu, Razali tidak banyak bercakap ketika sedang bermain dan apabila permainan berlanjutan sehingga ke set kedua, Allahyarham semakin menjadi pendiam.
"Kami bermain badminton secara beregu, saya dan rakan bermain menentang datuk dan pasangannya. "Masa tengah main dalam set kedua ketika kedudukan mata 9-11, datuk yang cuba mengambil bola kelihatan tercungap-cungap dan jatuh terlentang.
"Semasa arwah jatuh terlentang, Allahyarham sempat menyebut kalimah Allahuakbar, kami yang berada di situ agak panik dan bergegas telefon ambulans serta polis untuk mendapatkan bantuan," jelasnya lagi.
Azmi berkata, kira-kira 15 orang berada di gelanggang yang menyaksikan kejadian tersebut.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan IAB, Ebaris Abu Bakti yang berpasangan dengan Razali berkata, permainan terhenti ketika mereka mendahului lawan pada kedudukan mata 11-9.
"Arwah cuba ambil bola tetapi beliau tiba-tiba tercungap-cungap sebelum jatuh terlentang," katanya. Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abu Karim pula memberitahu, dia sempat menyaksikan Allahyarham jatuh terlentang serta belakang kepalanya terhentak di lantai dan mengakibatkan luka sepanjang dua inci.Dalam pada itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tiba di hospital tersebut kira-kira pukul 9.50 malam.
GENTING HIGHLANDS 28 Nov. – Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail meninggal dunia secara mengejut ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini petang ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Allahyarham tiba-tiba rebah ketika bermain badminton bersama beberapa kakitangan IAB di pusat rekreasi institut tersebut.
Razali, 59, yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berada di institut itu bagi menghadiri mesyuarat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan mengambil kesempatan bermain badminton di luar acara rasminya itu. Jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Bentong (HB) untuk pemeriksaan dan bedah siasat kira-kira pukul 9.30 malam ini.
Bersama mengiringi jenazah ialah isterinya, Datin Noraini Lob Yusoff, 51, dan dua daripada lima anak Allahyarham, Asrul Shah, 27 dan Muhammad Nurazli, 30.Tiga anaknya yang lain ialah Khairul Amar, 23, Khairul Anuar, 21, dan Khairul Ariff Razali, 15. Turut berada di IAB membantu menguruskan jenazah ialah Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta para pegawai Kementerian Pelajaran dan IAB.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mokhtar Nong turut berada di samping jenazah di IAB dan HB.Hishammuddin dalam reaksi nya sangat sedih dengan pemergian mengejut Allahyarham.“Pemergian beliau kehilangan besar kepada saya, Kementerian Pelajaran serta negara,” katanya.
Selepas urusan bedah siasat di HB malam ini, jenazah Allahyar ham akan dibawa ke rumahnya di Batu Burok, Terengganu untuk di kebumikan. Difahamkan, permainan badminton adalah sukan kegemaran Allahyarham selain beliau juga memegang tali pinggang hitam da lam seni mempertahankan diri judo.
Razali pernah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) se lama 10 hari, tiga bulan lalu.Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, beliau mewakili Barisan Nasional (BN) memperoleh 32,562 undi mengalahkan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu (31,562) dan calon bebas seorang wanita berusia 89 tahun, Maimun Yusof (685).Razali sebelum ini merupakan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PT PTN).
KUALA LUMPUR 28 Nov. - Kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail adalah satu kerugian kepada UMNO dan kementerian tersebut, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Menurutnya, Razali merupakan seorang yang berbakat dan telah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan baik. Beliau turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang berpengalaman luas dan Ahli Parlimen yang berkaliber. Katanya, sebagai timbalan menteri, Razali juga arif dengan dasar-dasar kementerian yang dipimpinnya itu. "Beliau telah menunjukkan satu prestasi yang baik sebagai seorang timbalan menteri, mampu memahami dasar-dasar kerajaan dengan baik. "Saya memang pun sentiasa menaruh harapan yang satu hari dia akan jadi Menteri Pelajaran. Tapi apa boleh buat, Tuhan telah mentakdirkan beliau meninggal dunia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia yang ke-29 di sini, malam ini.
Abdullah turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Katanya, beliau terkejut apabila dimaklumkan dengan berita tersebut. "Saya terkejut apabila mendengar berita itu. Saya tidak pernah tahu bahawa beliau mempunyai sakit jantung," katanya.Razali, 59, yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands dekat sini kira-kira 6.30 petang tadi, ketika sedang bermain badminton di institut itu.
Semua Berita: Utusan Online, 29 November 2008